Thursday, May 03, 2012

Bonsai - Penzhai dan Bonkei - Penjing

Bonsai @ Penzhai dan Penjing…
~ Abdullah FB

Bersempena dengan acara terbesar Bonsai tahun 2012 ini iaitu “Malaysia-International Bonsai & Stone Exhibition N Competition 2012“ yang bakal diadakan pada 30 May ~ 3 June 2012 bertempat di The Summit Subang USJ, masih ramai tertanya ( bagi orang baru ) beza dan perbezaan antara ketiganya.

Adakah Bonsai , Pen-sai dan Penjing itu sama ?
Apakah yang membezakan antara ketiga-tiganya ?

Saya membuat sedikit kajian melalui pembacaan daripada buku-buku dan dari internet, begitu juga hasil perbincangan dengan orang lama, ketiganya bolehlah dirumuskan seperti dibawah.Mungkin ianya tidaklah berapa tepat, hanya sekadar boleh dijadikan sebagai panduan dan memberi mudah faham untuk penggiat dan peminat yang baru menceburi bidang "Seni tanam pokok didalam pasu“.

Mengapa “Seni tanam pokok didalam pasu” ?.Sila rujuk sejarah Bonsai , dengan memahami sejarah asal Bonsai mungkin lebih mudah untuk memahami perbezaannya. Menanam pokok di dalam pasu memerlukan lebih pemerhatian dan kemahiran memelihara, memulih dan meniru alam semulajadi. Segala kemahiran ini perlu dipelajari melalui pengalaman dan hubungan dengan alam semulajadi bagi menjadikan hasil “Seni“ itu dapat dinikmati oleh mata yang memandangnya.

Hubungan Alam dan Manusia dengan penciptaNya yang akrab boleh menjadikan hasil kerja “Seni tanam pokok didalam pasu” ini sesuatu yang kadangkala sukar untuk diluahkan dengan kata-kata. Dengan memerhatikan kejadian Alam ini, diperhalusi alam semulajadiannya (melalui faktor masa, tempat, angin dan cuaca) setiap tumbuhan itu, lalu diterjemahkan menerusi kaedah menanamnya didalam pasu, menjadikan tanaman itu bukan sekadar tanaman biasa tetapi sesuatu tanaman yang mempunyai penjiwaan dan ceritanya sendiri. Seni itu sendiri memberi pengertian yang luas dari kaedah penanaman, penjagaan, pembentukan dahan dan ranting serta memastikan pokok yang ditanam itu dapat dipanjangkan usianya.

Percaya atau tidak, pokok yang ditanam didalam pasu boleh hidup hingga beratus tahun usianya ?







Gambar pokok Bonsai yang berusia lebih 800 tahun di Shuakaen,Jepun. Artis Mr Kunio Kobayashi.


BONSAI @ PENZHAI ??

Rujuk kepada maksud sebutan dari lidah orang Jepun, BONSAI ( 盆栽 ), iaitu Bon dan Sai adalah bermaksud “Bon-盆"-bekas/Pasu dan “ Sai - 栽“- pokok/tanaman. Terjemahan dalam bahasa iaitu pokok/tanaman dan pasu, atau pokok yang hidup didalam pasu. Manakala PENZHAI ( 盆栽) adalah sebutan lidah orang Cina ( Mandarin ), maksudnya sama, perhatikan karakter tulisan Kanji ( 盆栽).Orang - orang Jepun telah berjaya mempopularkan menanam pokok didalam pasu/bekas dan membezakan perkataan “ Bonsai “ dan "Penzhai" melalui hasil Seninya.

Rumusan : Asasnya Bonsai dan Penzhai adalah SAMA (盆栽).Tetapi orang Jepun membezakannya dengan :
- Penzhai adalah seni tanaman pokok semulajadi yang tidak banyak memerlukan latihan bagi menjadikan pokok itu cantik dan menarik, pokok yang hidup bebas dengan tidak terikat kepada peraturan dan syarat, manakala
- Bonsai adalah seni tanaman pokok yang perlu mengikut peraturan atau syarat yang dicipta. Kekemasan dan keindahan sepohon pokok itu perlu mematuhi spesifikasi seperti ukurlilit batang, dahan dan ranting, serta ketinggian pokok dan berbagai lagi , barulah dikategorikan sebagai pokok Bonsai.

Melalui keterangan diatas, bolehlah dibezakan yang mana Bonsai dan Penzhai ?




Bonsai juga mempunyai jolokan nama yang telah direka oleh orang-orang Jepun seperti :

A) Gaya mengikut bentuk batang pokok
1-Menegak secara Formal ( CHOKKAN )
2-Menegak secara tidak formal ( MOYOGI )
3-Condong ( SHAKKAN )
4-Batang berpintal ( BANKAN )
5-Sebahagiannya terjuntai ( HAN-KENGAI )
6-Sepenuhnya terjuntai ( KENGAI )
7-Literati – ( BUNJIN-GI )

B) Gaya mengikut jumlah batang pokok
8-Batang berkembar ( SHOKAN )- contoh: SAN-KAN ( Berbatang Tiga ) , GO-KAN ( Berbatang Lima )
9-Serumpun ( KABUDACHI )

C) Gaya mengikut formasi dahan
10-“Broom style” – ( HOUKIDACHI )
11-Ribut ( FUKINAGASHI )

D) Gaya mengikut formasi akar
12-Akar mengenggam batu ( SEKIJOJU )
13- Akar terdedah ( NEAGARI )
14-Akar berbentuk Rakit ( IKADABUKI )
15-Akar diatas batu ( ISHITSUKI )

E) Gaya selainnya.
16-Belukar ( YOSE-UE )
17-Sebahagian batang merekah ( SABAMIKI )
18-Sebahagian kayu mati ( SHARIMIKI )
19-Pokok hidup dicantum dengan pokok mati ( TANUKI )
20-Dahan berjurai ( SHIDARE-ZUKURI )
21-Pokok berbentuk bulat atau bujur-telur. (TAMA-ZUKURI )
22-Bentuk pokok semulajadi. ( SHIZEN-ZUKURI )

Begitu dengan ketetapan saiz, seperti dibawah ini :

'Mame' - bonsai mini
-'Keshi-tsubu',2.5cm atau kurang
-'Shito', 2.5 - 7.5 cm

'Shohin'-bonsai kecil
-'Gafu', 8.0-13cm
-'Komono',13-18cm
-'Myabi', 18-35cm

'Kifu'-bonsai sederhana
-'Katade-mochi', 35.1 sehingga 70cm

'Chu/Chuhin' - sederhana ke besar
-'Omono', ketinggian 70 - 120 cm  ( Tahap ketinggian maksimum untuk pertandingan Bonsai )

'Dai/Daiza' - bonsai besar (large bonsai)
- 'Bonju', ketinggian melebihi 120cm ( Bonsai untuk Pameran atau Bonsai Lanskap )

PENJING ( 盆景)
Daripada sejarah yang tertulis penanaman pokok dalam pasu ( Penzhai ) terlebih dahulu telah di praktikkan oleh orang-orang Cina. Disamping menanam pokok melalui sumber inspirasi alam semulajadi, mereka juga telah menjadikan lanskap alam ( pokok, gunung dan air ) sebagai inspirasi untuk diterjemahkan keatas bekas atau pasu yang mereka panggil Penjing.

Pen-Zhai (盆栽) dan juga Pen-Jing (盆景), adalah dua bahan inspirasi dari alam semula jadi. Jing- 景 - bermaksud ( lanskap alam ) manakala Zhai- 栽 - pokok.

Definasi seni tumbuhan yang telah diasaskan oleh Penganut Tao dengan tanaman pokok didalam pasu (Pen-Zhai -盆栽) @ Bonsai dan tanaman lanskap, gunung, batu dan air didalam pasu (Pen-Jing -盆景) @ Bonkei. Keduanya mempunyai ciri yang sama tetapi dengan penekanan yang berbeza.

Terdapat beberapa gayacipta Penjing yang biasa dilihat, dan dihasilkan dengan penuh seni dengan maksud dan penceritaan yang alami. Beberapa gayacipta Penjing asas seperti :

1- Shumu Penjing

Kumpulan pokok – pokok 1 atau 2 disertai dengan batu batan kecil dan “miniature” , menghasilkan satu panorama dikawasan belukar atau hutan kecil. Pokok menjadi subjek utama dalam penceritaannya.Sebagai memenuhi citarasa, boleh diselitkan dengan miniature haiwan hutan.








Ghosin by John Yoshio Naka

2- Shansui Penjing 山水盆景

“Rock penjing” – batu batuan mencerminkan suasana gunung ganang, pokok renek sebagai sebahagian hiasan untuk lebih alami. Gunung-ganang menjadi subjek yang utama, menggambarkan keadaan alam semulajadi dikawasan pergunungan.




3- Shuihan Penjing , 水旱盆景

Dataran dan air ( sungai,lautan,tasik ) beserta dengan batu-batuan. Subjek utama adalah sebuah kawasan damai dengan suasana alam semulajadi yang menyegarkan.




Penjing cal poly


4- Bighua Penjing ( wall hanging )














Karya Robert steven


Asas bagi seni Penjing adalah sebuah seni yang diilhamkan dari inspirasi
- lanskap alam semulajadi.
- Mempunyai mesej, tema tertentu yang simbolik dan kadangkala amat subjektif
- Ia tidak mencerminkan sepohon pokok, tetapi ia adalah gambaran alam
- Boleh memberikan satu suasana alami dan menyentuh emosi ( tidak kaku )

Prinsipal Penjing
Bagaimana Penjing boleh menyampaikan sesuatu mesej kepada mereka yang melihatnya,
- Para artis Cina menyebutnya dengan : “Hua jong you se, se jong you yu; Jin jong you dong, dong jong you diao,” ( didalam gambar ada puisinya, didalam puisi itu mengandungi seribu makna ; dalam keadaan yang senyap/bisu adanya pergerakan, dalam setiap pergerakan itu ada iramanya )
- Sebuah ilham / inspirasi dari alam , mengkagumi ciptaan alam yang hebat

Matlamat Penjing
Suasana penuh alami diterjemahkan melalui seni tanam dan hias.

Kesimpulan

Tidak semua orang mampu menghayati keindahan dan keunikan tanaman Bonsai atau Penjing, namun apabila minat sudah berputik, Bonsai dan Penjing akan dijadikan pilihan menghiasi kediaman dan menjadi hobi di masa lapang. Mempelajari kemahiran menanam dan menjaga Bonsai dan Penjing memerlukan minat yang mendalam kerana kita harus tahu keperluannya seperti udara, air dan cahaya matahari. Seni ini memerlukan masa lama dengan penjagaan yang rapi bagi membolehkan pohon yang benar-benar sihat dan menarik dihasilkan. Ia bukan kerja sambil lewa kerana penghasilannya memerlukan tahap ketekunan dan ketelitian yang tinggi.

Untuk Bonsai Misalnya, pokok perlu dicantas dari masa ke semasa supaya ia menjadi bantut serta tumbuh mengikut ketinggian yang ditetapkan. Jika pucuk daun baru tidak dimatikan, ia menyebabkan daun tumbuh meninggi sama seperti tanaman biasa. Jika ada kedua-dua syarat utama, iaitu minat dan kesabaran, Bonsai akan menghadiahkan balasan keindahan alam semula jadi yang ternyata mendamaikan. Hobi menanam Bonsai bukan hak eksklusif golongan tertentu saja, sebaliknya untuk sesiapa saja yang berminat. Kos penanaman boleh jadi serendah RM10 dan juga boleh menjangkau sehingga ratusan ribu ringgit, bergantung kepada kemampuan masing-masing. Bonsai amat sesuai ditanam di negara kita yang beriklim tropika dan keunggulan tanaman itu tidak semata-mata bergantung kepada harga, sebaliknya kemahiran membentuk pokok merupakan faktor yang paling utama.

Deretan bonsai di rumah Sifu Hj Halim (Kuantan, Pahang)

Penjing di rumah Kapt Halim (Besut,Terengganu)



"DO NOT MAKES YOUR TREES LOOK LIKE BONSAI BUT MAKE YOUR BONSAI LOOK LIKE TREES" - J.Naka
 " Do it the best you can; do it the best it can be done "

No comments:

Post a Comment

Post a Comment