Friday, June 03, 2011

Memilih bahan bonsai







Artis : Sifu Hj Halim
Spesis : Beruas/ Wahong Laut -- Premna Nouseose





Apabila ilmu seni penjagaan dan pembentukan pohon bonsai telah anda pelajari dan cukup yakin bahawa ianya boleh dipraktikkan dan bakal berjaya, langkah pertama dan amat mudah adalah pencarian bahan dari nursery berhampiran dengan anda. Atau mungkin anda inginkan cabaran yang lebih ekstrim dengan meredah hutan belukar, bukit dan gunung ( juga dikenali sebagai “ YAMADORI “ ) untuk menggali sendiri tunggul atau pokok yang anda hajati dan idamkan.

Apapun caranya terpulanglah pada anda.

Bercerita dengan bahan yang terdapat di nurseri-nurseri bunga biasa, kebanyakan bahan yang murah harganya ditanam dari biji benih dan melalui keratan batang. Sudah tentunya ia memerlukan masa yang agak lama untuk membesar sebelum anda boleh menjadikannya “ bonsai yang sempurna ”.Bergantung kepada jenis tanaman, tumbesarannya untuk menjadi pohon bonsai siap mengambil masa 5 ~ 15 tahun.

Cara lain dan sesuai mengikut kemampuan kewangan anda adalah dengan mencari dan membeli pohon bonsai yang belum siap ( lengkap ) atau separuh siap dari simpanan “ nurseri bonsai “. Ini adalah penyelesaian cepat, menjimatkan masa dan juga menawarkan kepada anda pelbagai pilihan tanaman yang anda suka dan minat.

Pohon bonsai yang dijual mempunyai harga yang berbeza-beza, dari satu tempat ketempat nurseri yang lain. Ianya bergantung kepada :

v Usia pokok

v Tahap kemenjadian dan kekemasan pokok

v Ukurlilit batang pokok

v Tahap kesihatan pokok

v Pembentukan akar yang melebar ( ukurlilit akar lebih besar jika dibandingkan denga batang pokok) yang biasanya lebih mahal.

Tetapi kebanyakan pemain yang baru, tersalah membuat pilihan menjadi lumrah kerana kurangnya sikap berhati-hati. Membeli pokok bonsai dengan harga yang sedikit mahal tetapi menepati ciri-ciri diatas boleh dikatakan masih beruntung dan berbaloi. Tetapi jika tersalah membuat pilihan walau dengan harga murah anda mungkin akan rugi dan tak berbaloi.

Cara yang terbaik adalah sentiasa belajar, tambahkan pengetahuan dan bertanya dengan mereka yang lebih senior. Atau sekurang-kurangnya memiliki seseorang yang berpengalaman untuk membantu anda.

Membeli terus dari kalangan mereka yang telah lama berada dalam bidang seni bonsai ini juga amat baik. Tetapi, ada sebahagian dari mereka mengambil kesempatan bila anda mendedahkan diri anda adalah seorang pemula / pemain baru seni bonsai, mereka mungkin mengambil kesempatan dengan meraih keuntungan dari situasi tersebut.

Carilah dan berkenal-kenallah dengan mereka – mereka yang mempunyai pengalaman yang luas dalam seni bonsai ini yang anda percayai. Sebagai orang yang mempunyai pengalaman yang luas dalam seni bonsai ini, bukan setakat untuk mencari keuntungan semata-mata , mereka pastinya dapat memberikan maklumat yang berguna, memberikan pandangan serta mencurahkan segala ilmu seni bonsai yang ada demi untuk melihat seni bonsai ini dapat diwarisi dari generasi kegenerasi. Mereka – mereka ini ramai dan bersedia bila diperlukan.

Apa yang harus anda lakukan , jangan bertindak berseorangan. Carilah rakan-rakan dan bina hubungan yang luas.Mudah-mudahan anda berhasil menjadi seorang “ Seniman Bonsai “ .

Bagi membantu serba sedikit kepada pemain baru atau bakal seniman bonsai, ada beberapa tips dibawah yang saya fikir berguna untuk membimbing anda ketika ingin membeli bahan asas bonsai :

PEMILIHAN POKOK

1. Memiliki gambaran masadepan / kecenderungan secara kasar bentuk / gaya yang anda idamkan.

2.Tetapkan tujuan pembelian anda, adakah anda membeli untuk :

v belajar membentuk dan menjaga bahan tersebut atau

v anda membeli sebagai koleksi peribadi atau

v anda membeli untuk menyertai pameran dan pertandingan,

kerana setiap satu darinya mempunyai kos dan nilai yang berbeza.

3. Anggarkan dan tetapkan nilai ( budget ) yang harus anda peruntukkan

4. Sebelum membeli bahan yang anda inginkan , periksa dan fahami kesesuaian bahan tersebut dengan persekitaran kediaman atau kawasan anda. Mintalah nasihat dari penjual atau pengedar dengan lebih lanjut.

5. Carilah bahan asas bonsai dengan kehijauan dedaunannya yang sihat dan padat, batang yang tegap dan mengecil diatas serta pembentukan akar yang kuat.

6. Elakkan membeli bahan dengan batang yang kurang sihat dan membusuk. Kaedah terbaik adalah dengan memeriksa kesan-kesan bekas luka yang besar pada batang dan tekan kuat dengan jari anda untuk mengesan apakah bekas luka itu padat atau mempunyai rongga. Kadangkala sukar juga dikesan keadaan luka pada batang pokok kerana kepandaian penjual menampal dengan kayu atau semen. Hanya mereka yang berpengalaman dapat mengesannya dengan mudah. Dan kebanyakan bahan juga memerlukan kesan-kesan khas ini untuk menampakkan kesan tua pada pokok tersebut.

7. Elakkan membeli bahan asas bonsai yang baru saja ditanam di tanah campuran atau baru sahaja siap repoting. Ada beberapa tanaman yang sensitif terhadap proses repoting dan kesinambungan hidupnya berada dalam “persoalan”. Tunggu sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan selepas repoting dan periksa semula. Jika ianya dalam keadaan pertumbuhan yang baik maka anda boleh mempertimbangkan untuk membeli dan memilikinya.

8. Ketika sedang memilih bahan yang anda inginkan, cuba bayangkan cara yang terbaik untuk mengekalkan atau membentuknya semula. Tanyakan kepada diri sendiri dan rujuk kepada mereka yang lebih berpengalaman :

v Adakah bahan tersebut mempunyai potensi? ( Potensi setiap bahan bolehlah anda belajar atau rujuk kepada mereka yang lebih berkemahiran. )

v Adakah bahan tersebut memerlukan banyak lagi latihan?

v Adakah gaya bahan itu akan cepat pudar dan membosankan?

v Dan berapa lama anda harus tunggu sebelum bahan tersebut menjadi sebuah bonsai yang siap sepenuhnya ?

9. Jangan terburu-buru membuat keputusan , ambil masa anda untuk meneliti setiap bahan yang anda betul-betul minat dan inginkan

LATIHAN PENJAGAAN DAN PENANAMAN

Kepada anda yang membeli bahan untuk belajar, anda perlulah terus mempelajari seni menanam dan seni penjagaan bonsai dengan teliti dan teratur. Cuba lihat bahan tersebut dari beberapa sudut yang berbeza, dan bayangkan adakah lagi cara terbaik untuk mengubah gaya atau membentuknya semula. Contoh, lihat bahan tersebut dari pandangan depan, belakang dan kedua sisi kanan dan kiri, mungkin ianya boleh disengetkan sedikit, atau ada kebarangkalian sebahagaian dahan – dahan yang perlu dipotong, pelajari dan rujuk kepada mereka-mereka yang berpengalaman.

Jangan terburu-buru dalam membentuk bahan tersebut. Jika anda tidak yakin, biarkan ia dahulu dan fikirkannya pada hari yang lain. Harus diingat, memotong dahan atau batang secara tidak sengaja boleh menjadi satu kesalahan yang harus dibayar dengan harga yang sangat mahal.

Terakhir sekali dan yang teramat penting, anda MESTI mempersiapkan diri untuk ditimpa kekecewaan. Jangan takut untuk mencuba. Bahkan jika anda gagal atau kecewa sekurang-kurangnya anda telah memperoleh pengalaman-pengalaman yang tiada tolok bandingnya dan lebih mempercepatkan anda untuk digelar “ SENIMAN BONSAI “

~ bersambung
" Do it the best you can; do it the best it can be done "

No comments:

Post a Comment